Halaman

Isnin, 24 Jun 2013

JEREBU


JEREBU


Maksud:


Jerebu ialah keadaan kehadiran partikel terampai di atmosfera seperti gas-gas, debu, habuk, dan zarah di dalam keadaan udara kering. Pada amnya fenomena jerebu juga berpunca daripada pencemaran udara.

Punca-punca berlakunya jerebu


Di Malaysia tahap kualiti udara ditunjukkan oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU). Tahap kualiti udara yang teruk ialah IPU 101-400. Masalah jerebu berpunca daripada kegiatan manusia iaitu pertama melalui pambakaran hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar seperti yang dilakukan di Kalimantan dan Indonesia akhir-akhir ini telah menyebabkan masalah jerebu di negara kita.

Kedua, pengeluaran asap yang tidak terkawal dari kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian yang menggunkan minyak dan arang batu sebagai bahan api. Selain itu bahan-bahan pencemar juga dilepaskan daripada proses-proses yang terdapat di dalam industri seperti industri petrokimia dan industri kuari. Contoh kawasan perindustrian ialah Seguntor di Sandakan dan Lembah Klang. Industri yang berasaskan kayu juga mengundang masalah masalah jerebu. Bahan-bahan buangan sisa industri ini seperti habuk-habuk kayu, kulit-kulit kayu dan serpihan-serpihan kayu biasanya dilupuskan secara dibakar. Pembakaran akan menyebabkan karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen oksida, hidrokarbon di samping debu, dan habuk terampai dibebaskan ke udara yang kesemuanya boleh manambah-burukkan lagi masalah pencemaran udara dan jerebu.Selain itu, asap hasil dari pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya juga menyebabkan pertambahan asap-asap di kawasan sekitarnya.

Ketiga,masalah jerebu juga berpunca daripada faktor semulajadi iaitu fenomena El-Nino. Akibat dilanda El-Nino, suhu perairan di Lautan Pasifik meningkat secara tinggi berikutan pergerakan angin timuran yang perlahan di tengah dan barat perairan tersebut. Pada masa yang sama, Asia Tenggara akan mengalami musim kemarau yang kering memudahkan kebakaran hutan seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan. Akibatnya, asap terlepas ke ruang udara dan terperangkap di ruang angkasa sehingga menghasilkan keadaan yang berjerebu.

Jerebu juga terjadi akibat letupan gunung berapi.Contohnya letupan gunung berapi Krakatoa dalam tahun 1883 dan Gunung Agung di Bali 1963, yang telah banyak mengeluarkan habuk dan gas-gas ke dalam udara

Kesan-kesan jerebu


Terdapat banyak kesan negatif akibat jerebu. Antaranya ialah, ia boleh menjejaskan kesihatan manusia serta binatang dan boleh membantutkan tumbesaran tumbuhan. Kesan kesihatan manusia yang paling ketara ahíla terhadap sistem pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit asma, sakit kerongkong, nemonia dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung. Bagi haiwan pula,, kesihatan terganggu sekiranya haiwan tersebut memakan tumbuh-tumbuhan yang diselaputi oleh zarah-zarah beracun. Teranakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang memakan tumbuhan ini akan menjadi mangsa keracunan makanan.

Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya menyerap dan menyerakkan cahaya matahari. Pengurangan jarak penglihatan membawa masalah besar kepada aktiviti ekonomi dan harian penduduk. Ia akan mengganggu aktiviti perkhidmatan udara dan laut serta ketidaklancaran perjalanan darat.

Risiko kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan papal laut atau kenderaan di jalan raya menjadi semakin besar. Di dalam kes jerebu 1997, negeri Sarawak merupakan negeri yang paling teruk dengan IPU mencecah angka 800. Sarawak diisytiharkan darurat Jerebu selama hampir seminggu. Akibatnya, sebahagian besar aktiviti ekonomi di bandar Kuching lumpuh dan semua sekolah terpaksa ditutup.

Selain daripada itu, jerebu juga memberi kesan kepada sektor pertanian kerana menghalang kemasukan cahaya matahri yang cukup bagi membolehkan tumbuhan menjalankan proses fotosíntesis. Kesannya tumbesaran tumbuhan pendebungaan, dan penghasilan buah berkurangan. 

Selimut jerebu ini biasanya hilang selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang turun selepas fenomena jerebu berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca daripada hujan asid. Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan, meningkatkan nilai keasidan tanah dan air sekaligus mengganggu keseimbangan dalam ekosistem seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara.

Langkah-langkah mengatasi masalah jerebu


Antara langkah yang boleh diambil ialah tindakan segera untuk menghentikan pembakaran hutan secara terbuka dan secara besar-besaran diperlukan. Tindakan secara kolektif dengan penggunaan alat pemadam api yang canggih dan saintifik boleh membantu mengurangkan masalah jerebu. Di samping itu juga undang-undang ketat perlu dikenakan terhadap pihak atau syarikat tertentu yang sengaja membakar hutan untuk tujuan pertanian.

Kedua, bahan pencemaran udara haruslah dikurangkan untuk mengelakkan masalah jerebu di negara kita. Kesesakan lalu lintas menambahkan arbón dioksida, karbón monoksida dan sebagainya yang menambahkan keadaan berjerebu. Oleh yang demikian, bilangan kenderaan yang menggunakan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan yang terlibat seperti Kuala Lumpur haruslah disekat atau dikurangkan.

Ketiga, jerebu boleh dihilangkan dengan usaha pembenihan awan bagi menurunkan hujan. Hujan adalah pembersih udara semula jadi yang terbaik. Pihak Jabatan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan Puncak Niaga Sdn. Bhd telah melakukan beberapa siri pembenihan awan khususnya di sekitar Lembah Klang dan negeri Selangor.

Keempat, masalah jerebu juga boleh dikurangkan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk mengenal pasti kawasan yang bermaslah dan mengambil tindakan susulan untuk mengatasi maslah jerebu. Pembacaan indeks haruslah dilakukan dari semasa ke semasa agar usaha mengehadkan kilang-kilang daripada pengeluaran asap atau gas yang berlebihan dapat diatasi

Masalah jerebu juga boleh diselesaikan melalui persepakatan bersama antara negara jiran dan pada peringkat global diperlukan untuk menangani masalah alam sekitar . Kerjasama boleh dilakukan dari segi perlindungan alam sekitar secara kolektif dan kajian saintifik dan kajian saintifik digiatkan untuk menangani masalah ini.

Sabtu, 22 Jun 2013

JANGAN BERPUTUS ASA DARIPADA RAHMAT ALLAH


Daripada Abu Said, iaitu Sa'ad bin Sinan al-Khudri r.a. bahawa Nabi saw bersabda:

“Ada seorang lelaki daripada golongan umat sebelummu telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia. Kemudian ia (pembunuh tersebut) bertanya (kepada orang ramai) tentang siapakah orang yang teralim di kalangan penduduk bumi, lalu ia ditunjukkan kepada seorang pendeta. Ia pun mendatanginya dan membuat pengakuan bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia, adakah masih diterima untuknya bertaubat. Pendeta itu menjawab, “Tidak diterima.”

Mendengar jawapan tersebut, lelaki itu pun membunuh pendeta tersebut dan ia telah menyempurnakan jumlah seratus orang yang dibunuhnya, termasuklah si pendeta tersebut. Lalu ia bertanya lagi (kepada orang ramai) tentang siapakah orang yang teralim daripada penduduk bumi, kemudian ditunjukkan kepadanya seorang alim. Kemudian ia membuat pengakuan bahawa ia telah membunuh seratus manusia. Adakah masih diterima taubatnya? 

Orang alim itu pun menjawab: “Ya, masih boleh diterima. Siapakah yang dapat menghalangi antara dirinya dengan taubat itu? Pergilah engkau ke sekian-sekian tanah (tempat), sebab di sana ada beberapa kelompok manusia yang sama menyembah Allah Ta’ala, maka sembahlah engkau kepada Allah itu bersama-sama mereka dan janganlah engkau kembali ke tanahmu sendiri, sebab tanahmu adalah negeri yang buruk.”

Lelaki itu pun terus pergi sehingga ia sampai ke separuh perjalanan, tiba-tiba ia didatangi oleh ajal kematian. Kemudian bertengkarlah malaikat rahmat dan malaikat azab berkenaan nasib orang tersebut. Malaikat rahmat berkata, “Orang ini telah datang untuk bertaubat sambil menghadapkan hatinya kepada Allah Ta'ala”. Malaikat azab berkata, “Sesungguhnya orang ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan walaupun sedikit.”

Kemudian ada satu malaikat mendatangi mereka berdua dalam bentuk seorang manusia dan  ia dijadikan sebagai pemisah (iaitu sebagai hakim pemutus) antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi. Ia berkata, “Ukurlah olehmu berdua jarak antara dua tempat di bumi itu, ke arah manakah lelaki itu lebih dekat kedudukannnya, maka orang itu adalah untuknya. Iaitu jika jaraknya lebih dekat menuju ke arah tempat untuk bertaubat, maka ia adalah milik malaikat rahmat. Sebaliknya jka jaraknya lebih dekat dengan negeri asalnya, maka ia adalah milik malaikat azab”. Malaikat-malaikat itu pun mengukur dan kemudian didapati bahawa jarak orang tersebut adalah lebih dekat ke arah bumi yang dikehendaki, yakni yang dituju untuk melaksanakan taubatnya. Oleh sebab itu, maka ia dijemput oleh malaikat rahmat.”[Muttafaqun ‘alaih]

Ibrah

Hadis di atas memberikan khabar tentang betapa besarnya rahmat Allah dalam mengampunkan dosa-dosa manusia sekalipun ia telah melakukan kesalahan dan dosa yang sangat besar. Walaupun hadis ini menukilkan tentang umat yang terdahulu (sebelum umat Muhammad), tetapi ibrah (pengajaran) yang boleh kita ambil adalah bahawa sesungguhnya Allah itu tidak pernah menutup pintu taubatNya selagimana manusia itu sentiasa mengharap kepada keampunanNya. Bayangkan jika kita berada di tempat lelaki dalam hadis tersebut, adakah kita bakal menjadi orang yang terus berharap kepada keampunan dan rahmat Allah, atau adakah sebaliknya kita berputus asa setelah mengira-ngira betapa besarnya dosa-dosa kita di masa lalu? 

Katakan ada seseorang yang melalaikan seluruh kewajipan-kewajipannya sebagai seorang Muslim, melakukan perkara-perkara maksiat dan keharaman, lalu atas sebab tertentu tiba-tiba ia menjadi insaf lalu bertaubat. Kemudian diulangi lagi kemaksiatannya, dan suatu ketika ia pun tersedar dan bertaubat semula. Dan perkara ini berulang-ulang beberapa kali sehingga ada masanya muncul persoalan yang bermain-main dalam benak fikirannya, “Apakah taubatku ini masih berguna sedangkan aku sentiasa mengulang-ulang kesalahanku berkali-kali? Apakah Allah masih memandang aku dengan rahmatNya?” Pada ketika itu, datang lintasan atau bisikan di hati  yang mengatakan, “Sesungguhnya aku telah mensia-siakan taubatku yang terdahulu dan aku tidak mampu untuk menahan diriku daripada terus melakukan maksiat yang sama. Disebabkan dosa-dosaku yang bertimbun ini, biarkanlah saja kerana aku tidak mampu untuk berhenti atau mengubahnya lagi. Sia-sia sahaja untuk aku terus bertaubat dan aku pasti akan ke neraka.”
Iktiqad (niat hati) sebegini jika dilakukan dalam keadaan sedar sangat membahayakan keimanannya kepada Allah SWT, na'uzubillahi min dzalik. Sikap berputus asa boleh menyebabkan seseorang itu tertipu dengan bisikan syaitan pada tahap yang lebih tinggi. Seorang pelaku maksiat bukan sahaja tertipu ketika melakukan maksiatnya, malah lebih parah lagi dia tertipu apabila bersikap berputus asa untuk bertaubat dan menagih rahmat serta keampunanNya.  Apabila berlakunya sedemikian rupa, dengan serta merta keimanannya menjadi robek dan rosak kerana sikap berputus asa adalah perkara yang akan memutuskan seseorang itu daripada rahmat Allah SWT. Apa lagi yang boleh diharapkan jika berlakunya perkara sedemikian? Ini sudah pasti akan membuatkan para iblis dan syaitan bersorak gembira atas kejayaan mereka dalam membawa manusia ke neraka Allah.

Memang sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sentiasa melakukan kesilapan, kesalahan dan dosa dalam kehidupannya. Baik sama ada kesalahan atau dosa itu kecil ataupun besar, sedikit ataupun banyak, membuatnya sekali ataupun berulang kali. Setiap dosa itu pasti akan membuahkan catitan yang akan membawa kepada terbukanya ruang azab dan seksa daripada Allah SWT. Ruang itulah yang perlu ditutup dengan segera dengan segala amal kebajikan yang mampu untuk dilakukan dan pintu utamanya adalah taubat kepada Allah SWT. Nabi SAW yang mulia sebagai seorang yang maksum turut bertaubat dan beristighfar kepada Allah tidak kurang daripada 70 kali dalam sehari, inikan pula manusia biasa yang serba lemah dan hina seperti kita.

Berbalik kepada hadis yang dinukilkan di atas, jika sekiranya lelaki tersebut sudah hilang niatnya untuk merujuk kepada orang yang faqih, tidak lagi berharap kepada rahmatNya dan tidak berusaha untuk bertaubat kepadaNya, adakah dia akan mampu untuk mendapat keampunan daripada Allah sepertimana yang diperolehnya? Sebagai umat Muhammad SAW, kita telah dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan hatta dalam perkara taubat dan harapan. Renungkanlah hadis qudsi yang disampaikan daripada Anas radhiallahu anhu,
Rasulullah saw bersabda:

Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama mana engkau berdoa dan berharap kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu atas segala dosa-dosamu dan Aku tidak akan mengendahkannya. Wahai anak Adam! Andaikata dosa-dosamu mencecah ke langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu denganKu tetapi engkau tidak menyekutukan Aku walaupun sedikit, maka Aku akan pasti datang kepadamu dengan membawa keampunan sepenuh bumi.” [HR Tirmidzi]

Inilah sebuah berita gembira untuk kita wahai umat Muhammad. Selagimana kita tidak menyekutukan Allah, walau sebesar mana pun dosa-dosa yang telah kita lakukan, apabila kita bertaubat dan mengharapkan keampuanNya, maka Allah tidak akan pernah lokek untuk mengampunkan kita dan terus mengurniakan rahmatNya kepada kita. Allah SWT langsung tidak pernah mensyaratkan kita untuk melakukan perjalanan jauh tertentu sebelum diampunkanNya dosa-dosa kita. Bahkan rahmat Allah itu Maha Luas di atas muka bumi ini selagimana kita tidak berputusa asa dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu.

Justeru, apakah lagi keputusan yang harus kita pertimbangkan selain daripada terus bersegera bertaubat dan meraih keampunanNya? Rebutlah peluang ini sebelum datangnya ajal, kerana apabila ruh sudah sampai ke tenggorok, pintu taubat akan ditutup buat selama-lamanya. Allahumma ihdinas shiraatal mustaqiim.

Cara Tambat Hati Rakan Dalam Pergaulan

Cara Tambat Hati Rakan Dalam Pergaulan





Setiap orang perlukan rakan dalam hidupnya.  Hidup tanpa rakan dikatakan seperti kera sumbang.   Ada rakan yang hanya sebagai kenalan, kita sekadar beberapa kali sahaja bertemu atau bercakap dengannya.  Ada rakan yang sekadar sahabat biasa, iaitu seseorang yang kita kenal agak lama seperti rakan sekolah, rakan sekerja, rakan sekampung dan sebagainya tetapi tidaklah akrab dengan mereka.  Ada rakan maya, iaitu yang kita kenal melalui laman sembang, internet, telefon dan e-mel. Ada pula rakan karib iaitu seseorang yang kita kenal secara mendalam, tahu hati budinya, tempat kita mengadu dan berbincang, dan orang yang tahu banyak rahsia diri kita.
Apa yang menariknya, ramai orang apabila semakin akrab hubungan persahabatannya maka makin sensitif jadinya.  Malah makin kita ambil mudah dalam menjaga hubungan yang terjalin itu dengan alasan rakan sudah memahami kita.  Kesilapan ini akan membawa kepada retaknya sebuah persahabatan dan ia perlu di atasi segera.
Dalam artikel kali ini saya akan berikan beberapa petua untuk menambat hati rakan dalam pergaulan seharian dan semoga hubungan silaturahim yang sedia terjalin menjadi satu hubungan yang hebat.

Fikir Sebelum Berkata
Sewaktu diperingkat awal kita berkenalan dengan seseorang kita sering berfikir terlebih dahulu apa yang mahu dikatakan agar tidak disalah faham, tidak dianggap kasar dan tidak mengguris perasaan orang lain.  Malangnya, semakin akrab sebuah persahabatan perkara ini dianggap tidak begitu penting.  Kita menjadi sebaliknya iaitu cakap dahulu baru berfikir.   Kesannya, kita telah tanpa niat menyakitkan hati rakan dan yang peliknya kita anggap rakan tidak akan ambil kisah kerana dia sepatutnya telah memahami perangai kita.  Jadi untuk menambat hati rakan dalam pergaulan fikirkan perkara berikut sebelum berkata-kata:
Adakah apa yang diperkatakan ini akan menyinggung perasaannya?
Adakah masa dan tempatnya sesuai?
Apa perkataan-perkataan yang mahu digunakan?
Apakah yang mahu dikatakan ini membawa sesuatu kebaikan?
Adakah ia penting?
Bolehkan keadaan rakan membolehkan dia terima gurauan ini?
Ada atau tidak kemungkinan apa yang mahu diperkatakan itu akan disalah erti?
Bukanlah bermakna setiap kali mahu bercakap maka semua perkara di atas mesti difikirkan serentak.  Lihatlah keadaannya juga.  Namun kerap kali dengan mempertimbangkan satu atau dua perkara yang disenaraikan di atas itu sebelum bercakap akan menyuburkan sebuah ikatan persahabatan kita.

Mesra Dalam Berkomunikasi
Kajian menunjukkan 55% komunikasi letaknya pada fisiologi iaitu gaya, gerak badan dan mimik muka, 38% kesan komunikasi letaknya pada nada suara dan hanya 7% sahaja bergantung kepada fakta.  Oleh itu bagaimana kita menyampaikan sesuatu itu adalah lebih penting daripada apa yang disampaikan.  Jadi beberapa perkara yang mesti dilakukan agar komunikasi antara kita dan rakan sentiasa mesra ialah:
  • Sampaikan dalam senyuman
  • Mulakan dengan mencari kebaikan kawan
  • Bercakap dengan nada suara yang rendah dan lembut
Menjadi Pendengar Yang Baik
Hikmah manusia dijadikan dengan dua telinga dan satu mulut ialah agar kita lebih mendengar dari bercakap.  Kerapkali kita gagal memahami apa yang dimaksudkan oleh rakan kerana tidak mendengar dengan baik dan ini membuatkan mereka rasa tidak dihargai.  Sebagai rakan, kita sering dijadikan tempat untuk mengadu.  Bila kawan dalam bermasalah kitalah jadi pendengarnya.  Bila kawan tertekan, kitalah tempat dia melepaskan tekanannya.  Bila kawan dimarahi, kitalah tempat dia minta dipujuk dan disejukkan hatinya.  Oleh itu, peranan kita sebagai pendengar yang baik sangatlah penting.  Untuk menjadi pendengar yang baik, lihat matanya ketika dia bercakap, angguk dan iyakan tanda kita mendengar, tidak memotong cakapnya, ulang kata-katanya tanda kita faham, gunakan seni sentuhan sebagai bukti kita ambil berat, dan memberikan pandangan apabila diminta berbuat demikian.

Memahami Sebelum Difahami
Orang lain tidak kisah apa yang kita tahu sehinggalah mereka tahu yang kita memang ambil kisah.   Maksudnya, orang lain tidak akan pedulikan nasihat, teguran, pandangan, kata-kata dan idea kita sehinggalah mereka sedar bahawa kita sebenarnya ambil berat tentang dirinya.   Sebab itulah penting bagi kita sebagai rakan memahami rakan kita dahulu dan mereka akan ambil langkah yang sama kelak untuk memahami kita pula.  Faham sikapnya, tingkah laku dan tabiatnya, hobinya, pantangnya, cara fikirnya dan sebagainya.

Ingat Tarikh Lahirnya
Adakah kita ingat tarikh lahirnya?  Sesiapa juga akan bangga apabila kita ingat tarikh lahirnya dan seterusnya memberikan ucapan kepadanya.  Lebih mesra lagi apabila ucapan disertai dengan kad dan hadiah.  Hadiah tidak semestinya mahal sebab yang berharga itu bukan nilainya tetapi mesej disebalik pemberian itu.

Akrab Dengan Keluarganya
Untuk menambat hati rakan maka kenalilah ahli keluarga terdekatnya seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan adik beradiknya.  Lebih akrab lagi apabila kita ingat nama-nama ahli keluarganya ini dan sesekali menziarahi mereka.  Ada ketikanya, apabila masalah timbul maka ahli keluarga terdekat inilah yang akan jadi penasihat tentang hubungan persahabatan kita.  Adalah tidak rugi merapatkan hubungan dengan ahli keluarga sahabat kita sekurang-kurangnya kita tahu latar belakangnya dan dapatlah mengenali diri rakan itu dengan lebih dekat lagi.

Ketepikan Soal Remeh Temeh
Dalam pergaulan bersama rakan-rakan banyak perkara-perkara kecil yang berlaku setiap hari yang sepatutnya tidak perlu disimpan dihati.  Lagi pun tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini termasuk diri kita dan rakan kita juga.  Kita akan lebih berjaya menambat hati rakan apabila kita menerima diri rakan itu seadanya.  Iaitu kita bersahabat dengannya kerana kita tahu kelemahan dan kekurangan serta kebaikan dan kekuatan yang ada padanya.   Kalau tindakan-tindakan rakan itu bertitik tolak dari kelemahan dirinya yang kita sedia maklum maka tidak perlulah kita ambil hati sangat. 
Perkara-perkara yang remeh seperti sesekali menggunakan barang kita tanpa izin, terlupa hendah ucapkan terima kasih atas pertolongan kita, terlepas cakap sedikit dan sebagainya lagi adalah lebih baik tidak dikisahkan langsung.  Apatah lagi kalau semua itu berlaku tanpa disengajakan atau tanpa niat.

Tegur Secara Membina Dan Berhemah
Untuk menambat hati rakan kita mestilah bersedia untuk menegurnya untuk kebaikan dirinya sendiri.  Tetapi teguran itu bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan maruah, memalukan atau merendah-rendahkannya.  Sebaliknya teguran itu dibuat sebagai bukti bahawa kita ambil berat tentang diri rakan tersebut.  Teguran itu mestilah membina dan disampaikan dengar cara yang paling baik hingga tidak menyentuh hati dan perasaan rakan. 

Bersedia Memohon Maaf
Ada ketikanya kita melakukan kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.  Kesediaan kita untuk memohon maaf akan mengeratkan lagi perhubungan persahabatan itu.  Memohon maaf bukanlah bererti jatuh ego kita sebaliknya ia membuatkan rakan lebih menghormati kita.  Lama kelamaan rakan akan sedar bahawa kita adalah orang yang tidak hanya mementingkan perasaan dan diri kita sendiri.  Maaf itu pula mestilah disegerakan dan ikhlas datang dari hati.   Setelah permohonan maaf itu dibuat kita pula mestilah sanggup lupakan apa yang telah berlaku dan tidak diungkit-ungkitkan lagi perkara tersebut dimasa-masa yang lain. 

Berikannya “Surprise”
Semua orang sukakan ‘surprise’ begitu juga rakan kita.  Apa salahnya tanpa disangka-sangka kita berikannya hadiah, atau belanjanya makan, atau ajak dia ke tempat yang menarik dan sebagainya.   Semua ini dilakukan tanpa kita mengharapkan apa-apa balasan selain dari usaha untuk menambat hati rakan agar persahabatan yang sedia terjalin semakin akrab. 

Berikan Ucapan Syabas
Apabila rakan kita mendapat suatu kejayaan atau menerima sesuatu anugerah maka berusahalah untuk menjadi antara orang pertama dan terawal mengucapkan syabas kepadanya.  Ucapan ini boleh dibuat sama ada secara berdepan atau melalui telefon, SMS, kad ucapan atau e-mel.  Ada juga yang mengiklankan dalam akhbar ucapan syabas ini agar ia menjadi saat yang tidak dilupakan oleh rakan tersebut.  Jangan pula kita menjadi orang yang cemburu, iri hati dan dengki atas kejayaan rakan kerana sikap sedemikian tidak membawa sebarang kebaikan dalam persahabat itu.

Ziarahi Rakan
Jadilah juga orang pertama dan terawal yang menziarahinya apabila sahaja kita dengar dia ditimpa musibah atau jatuh sakit.  Ketika inilah rakan memerlukan sahabatnya dan kita perlu ada di sisinya.   Berilah bantuan setakat yang terdaya sama ada dari segi sokongan moral, masa, tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya.  Tolong uruskan apa yang patut untuknya agar beban yang dirasakan itu terasa berkurangan.  Hari ini hari rakan esok lusa mungkin hari kita pula.

SEKIAN.

SUMBER : Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D 
Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah IBUBAPA, 2003.

MENDIDIK ISTERI CARA RASULULLAH S.A.W


MENDIDIK ISTERI CARA RASULULLAH S.A.W



Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Firman Allah SWT:


“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.

Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu, menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh membahagiakan seisi alam.